Oleh Nurul Syahirah Zulkifli
KANGAR, 22 Jan (Bernama) -- Meskipun mengakui berdepan dengan peningkatan kos barangan, ia bukanlah alasan kepada seorang peniaga makanan di Medan Selera Pasar Sena di sini, untuk menjual nasi berlauk pada harga rahmah serendah RM4.50 sepinggan sejak 2010.
Husaimi Hashim, 63, ketika ditemui Bernama di medan selera itu berkata pelanggannya boleh menikmati sepinggan nasi bersama seketul ayam goreng bersaiz besar dan sayur serta kuah pada harga RM4.50, malah kadar itu masih memberikan keuntungan kepadanya walaupun tipis.
"Tujuan saya mengekalkan harga murah ini adalah untuk membantu mereka yang berpendapatan rendah menikmati sarapan dan makan tengah hari. Saya terkenang zaman saya susah dahulu sekali gus ingin membantu mereka yang memerlukan, lazimnya harga sepinggan nasi berlaukkan ayam dan sayur serta kuah dalam lingkungan RM6," katanya.
Husaimi menjamin kualiti makanan dijualnya dijaga sebaik mungkin dan makanan jualannya itu banyak menerima maklum balas positif daripada pelanggan dengan kebanyakan mereka berpuas hati terhadap juadah itu.
"Ramai pelanggan terkejut dengan harga yang murah dan berpuas hati dengan saiz hidangan yang diberikan," katanya yang turut memberitahu terdapat 15 jenis lauk masakan dijualnya di medan selera itu dan beroperasi dari Sabtu hingga Khamis bermula 7.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Sehubungan dengan itu, dia berharap tawaran harga rendah untuk sepinggan nasi berlauk itu dapat menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang mengunjungi negeri ini bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Dalam pada itu, seorang pelanggan, Fauziah Othman, 56, berkata makanan dijual Husaimi itu menjadi pilihan utamanya kerana tawaran harga yang berpatutan dengan hidangan berkualiti sekali gus sangat membantu golongan memerlukan memenuhi keperluan mereka.
"Saya dan keluarga memang suka makan di sini, boleh dikatakan hari-hari datang ke kedai ini. Hidangan bukan sahaja sedap dan murah, tetapi saiznya juga besar. Memang sangat berbaloi, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup sekarang yang tinggi," katanya.
-- BERNAMA