KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Moody’s Analytics mengunjurkan bahawa tarif global yang dikenakan oleh pentadbiran Donald Trump akan memuncak menjelang akhir 2025, dengan tarif ke atas China meningkat kepada 40 peratus daripada paras semasa, 20 peratus.
Ketua Ahli Ekonomi Asia Pasifik (APAC), Steve Cochrane berkata jumlah tarif efektif untuk seluruh dunia (tidak termasuk China) akan mencecah 10 peratus pada hujung tahun ini.
Beliau semasa webminar “Impak Dasar Perdagangan Trump ke atas Asia” hari ini menjelaskan tarif dunia serta China akan kembali ke paras sebelum tarif menjelang akhir 2026 pada kadar tarif import purata 2.0 peratus
Sementara itu, tarif ke atas China akan beransur-ansur menurun dan stabil sekitar 10 mata peratusan lebih tinggi pada penghujung 2027.
“Sebab kita menjangkakan kemuncak tarif akan dapat disaksikan pada penghujung 2025 adalah ia mengambil masa bagi pelaksanaan tarif selain keterlihatan hasil daripadanya,” katanya.
“Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan dalam ucapan perasmian semalam, Presiden Trump tidak menyebut secara khusus tahap tarif kecuali yang membabitkan Kanada dan Mexico.
“Sebaliknya, segala-galanya diwakilkan kepada penasihatnya, yang akan menilai tarif berdasarkan sesebuah negara untuk keberkesanan maksimum,” katanya lagi.
Cochrane juga menekankan ketika pentadbiran Trump bermula pada 2018, perang tarif tidak bertahan lama.
“Memasuki 2019, ekonomi Amerika Syarikat mula merasakan impak tarif yang lebih tinggi. Ini bukan sahaja disebabkan oleh tarif itu sendiri tetapi juga tindakan timbal balik yang diambil oleh China, seperti mengenakan tarif ke atas barangan pertanian yang dihantar dari AS ke China. Langkah-langkah ini memberi kesan yang besar kepada ekonomi ladang AS terutamanya dari segi permintaan,” katanya.
“China juga mula mendapatkan sumber dari Amerika Selatan untuk beberapa komoditi seperti kacang soya, jadi kosnya boleh diimbangi,” katanya.
Cochrane juga berkata susulan rundingan antara AS dan China, beberapa tarif telah dikurangkan di bawah perjanjian perdagangan Fasa Satu, menjadikan keadaan lebih terurus bagi kedua-dua negara.
Beliau ketika mengulas mengenai impak ekonomi berkata tarif itu akan menjejaskan pertumbuhan AS sebanyak kira-kira tiga persepuluh mata peratusan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026.
Pada November 2024, tanpa mengambil kira tarif, Moody's Analytics mengunjurkan pertumbuhan KDNK AS melebihi 2.0 peratus pada 2025 dan 2.0 peratus menjelang 2026.
Bagi China, impak tarif akan mengurangkan kira-kira setengah mata peratusan pertumbuhan KDNK pada 2025 dan 2026, kata Cochrane, sambil menambah hartanah serta industri berorientasikan eksport dijangka paling teruk terjejas.
Ketua Ekonomi Asia Moody's Analytics, Katrina Ell menyatakan pasaran mata wang di Asia telah pun merasakan kesan daripada tarif Trump.
“Kita telah melihat dolar AS mengukuh dengan ketara sejak November, sebahagiannya disebabkan oleh kemenangan Trump. Jangkaannya adalah dasar beliau akan lebih bersifat inflasi daripada alternatif.
“Ini membayangkan pengurangan kadar yang lebih sedikit untuk baki tahun ini, serta tempoh yang lebih tidak menentu untuk perdagangan global. Selain itu, dolar AS dilihat sebagai aset selamat yang lebih menarik,” katanya.
Moody's Analytics juga meramalkan harga minyak mentah Brent akan berlegar sekitar US$79 setong pada akhir 2025.
Cochrane berkata harga minyak yang lebih lemah akan berterusan sehingga 2026 dan awal 2027.
“Kita berpendapat bahawa ia akan jatuh ke paras terendah atau hanya di bawah US$70 pada awal hingga pertengahan 2027.
“Apabila kita berjaya menempuh semua ketidaktentuan ini dan ekonomi global mungkin mula meningkat, permintaan akan bertambah, kita akan kembali ke arah aliran jangka panjang sebanyak US$70-US$75 setong menjelang akhir dekad,” katanya.
Jika ada risiko kepada prospek ini, ia akan terkait dengan kekurangan bekalan lebih daripada yang dijangkakan.
“Sekatan baharu yang dikenakan ke atas peningkatan jumlah kapal yang mengangkut minyak dari Rusia, khususnya ke China dan India. Ini boleh mengurangkan bekalan, yang akan meningkatkan sedikit harga.
“Kesimpulannya, akan ada beberapa kesan ke atas harga tenaga daripada senario garis dasar kenaikan tarif di seluruh dunia, dan kita telah mengambil kira perkara itu dalam jangkaan kami,” kata Cochrane.
-- BERNAMA