AM

KPKT RAI KEPELBAGAIAN BUDAYA DENGAN HIASAN TAHUN BAHARU CINA, SERLAHKAN PERPADUAN NASIONAL

23/01/2025 12:06 PM

PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk meraikan kepelbagaian budaya dan menekankan kepentingan memupuk perpaduan nasional dalam kepelbagaian.

Ini terbukti apabila KPKT sekali lagi meraikan semangat keharmonian dan perpaduan dengan menghiasi lobi kementerian di sini dengan hiasan Tahun Baharu Cina yang menarik menjelang sambutan perayaan itu minggu depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerusi kenyataan hari ini berkata sambutan seperti ini memainkan peranan penting dalam pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat serta menjalin siratulrahim masyarakat berbilang kaum. 

“Di KPKT, kami berbangga meraikan pelbagai perayaan utama seperti Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baharu Cina. Kami berharap agar perayaan seperti ini dapat memperatkan hubungan silaturahim antara kaum serta mengukuhkan lagi keharmonian masyarakat majmuk,” katanya.

Menekankan bahawa perpaduan dalam kepelbagaian serta keharmonian masyarakat berbilang kaum adalah dua kunci kejayaan negara, Nga berkata Malaysia kini diiktiraf sebagai antara sepuluh buah negara paling aman di dunia.

“Oleh itu, adalah mustahak seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh bersama kerajaan MADANI untuk terus membangunkan ekonomi negara,” kata Nga.

Nga turut menjemput semua untuk turut serta dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran KPKT pada 6 Feb depan, bermula 12.30 tengah hari.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan