NEW DELHI, 24 Jan (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di New Delhi pada Khamis malam untuk lawatan selama empat hari dan beliau dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi serta menghadiri perarakan Hari Republik India ke-76 pada 26 Januari sebagai tetamu utama.
Ketibaan Prabowo di lapangan terbang disambut oleh Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar India, Pabitra Margherita.
Dalam kenyataan sebelum berlepas, Presiden Indonesia itu berkata perbincangan di India akan merangkumi kerjasama dalam bidang keselamatan, maritim, dan pembangunan teknologi digital.
India dan Indonesia dijangka mengumumkan beberapa perjanjian pada Sabtu ini.
Kontinjen terdiri daripada seramai 352 anggota tentera Indonesia akan turut mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Republik pada Ahad, satu acara tahunan yang mempamerkan pelbagai aset ketenteraan seperti kereta kebal, peluru berpandu dan kereta berhias dari pelbagai negeri di India.
-- BERNAMA