DUNIA

PELANCONGAN CHINA GAMIT MINAT PENGUNJUNG GLOBAL

24/01/2025 12:35 PM

MADRID, 24 Jan (Bernama-CMG) -- Gerai pameran promosi budaya dan pelancongan China menjadi tumpuan ramai pengunjung sempena Pameran Pelancongan Antarabangsa Madrid 2025 yang membuka tirainya di sini, pada Selasa.

Didorong oleh dasar pengecualian visa yang ditawarkan kerajaan China bagi memudahkan pengembara asing, pakej pelancongan ke China menarik perhatian dan minat para pengunjung pameran kali ini.

Duta Besar China ke Sepanyol, Yao Jing berkata China telah mengambil siri langkah bagi memudahkan pelancong asing semasa mengunjungi negara Tembok Besar.

Yao menyatakan bahawa "Tahun Baharu China (TBC), praktis masyarakat rakyat China untuk meraikan Tahun Baharu tradisional" dikategorikan dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO pada Disember lalu.

Selain memperkenalkan tradisi dan adat resam rakyat China meraikan TBC, Yao juga mengeluarkan undangan kepada rakyat asing untuk datang ke China bagi merasai aura kemeriahan TBC di sana.

Selaku antara pameran pelancongan yang paling berprestij di peringkat global, Pameran Pelancongan Antarabangsa Madrid edisi ini berlangsung mulai 22 hingga 26 Jan dan dijangka menyaksikan kehadiran seramai lebih 250,000 pelawat.

-- BERNAMA-CMG

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan