DUNIA

PBB LAPOR PENINGKATAN KETARA DALAM OPERASI DI GAZA DI TENGAH-TENGAH GENCATAN SENJATA

24/01/2025 04:15 PM

HAMILTON (Kanada), 24 Jan (Bernama-AA) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis melaporkan peningkatan ketara dalam operasi penghantaran bantuan susulan pelaksanaan gencatan senjata di Semenanjung Gaza, menurut laporan Agensi Anadolu.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Timbalan Jurucakap Farhan Haq dalam satu sidang media berkata: "bantuan, kargo, dan petugas kemanusiaan kini dapat memasuki kawasan yang sebelum ini sukar diakses."

"Rakan kemanusiaan kami di lapangan melaporkan bahawa persekitaran operasi telah bertambah baik dengan signifikan," katanya.

Mengulas peningkatan jumlah bantuan kemanusiaan yang disalurkan dan pemulihan undang-undang serta ketenteraman, Haq berkata: "Semalam, organisasi kemanusiaan di Gaza telah memindahkan 118 trak yang membawa bungkusan makanan dan tepung daripada gudang UNRWA (agensi PBB untuk pelarian Palestin) ke lebih 60 pusat pengagihan di kawasan selatan Gaza."

Fasa pertama gencatan senjata selama enam minggu di Gaza telah bermula pada 19 Jan, menghentikan serangan Israel yang telah meragut hampir 47,300 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,400 orang sejak 7 Okt 2023.

Perjanjian tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan dan usaha mengekalkan keamanan, dengan matlamat mencapai gencatan senjata kekal serta pengunduran tentera Israel dari Gaza.

-- BERNAMA-AA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan