EKONOMI

ALLIANZ GENERAL TAWAR INSURANS HARTA KOMPREHENSIF DENGAN PERLINDUNGAN PINTAR

24/01/2025 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Allianz Malaysia Bhd, melalui anak syarikatnya Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd telah menawarkan pelbagai liputan tambahan untuk memenuhi keperluan perlindungan harta pelanggan melalui polisi perlindungan rumah pintarnya.

Syarikat itu melalui satu kenyataan hari ini berkata tambahan tersebut mengandungi liputan Homefix, yang merangkumi kos pembaikan rumah dan insurans pemilik hartanah, yang memberikan perlindungan terhadap kerosakan berniat jahat oleh penyewa atau penyewa yang melarikan diri.

“Liputan tambahan ini boleh dibeli di atas perlindungan bangunan (HouseOwner) atau kandungan (HouseHolder) dibawah polisi Perlindungan Kediaman Pintar Allianz.

 Allianz berkata bergantung kepada bajet, pelanggan boleh memilih antara pelan tahunan dengan pembaharuan tahunan atau pelan berbilang tahun, yang menawarkan bayaran premium sekali sahaja bagi liputan tiga tahun tanpa kerumitan sambil menikmati premium yang lebih rendah di semua komponen. 

Ketua Pegawai Jualan Allianz General, Horst Habbig menasihatkan pemilik rumah untuk mengkaji semula polisi mereka dengan teliti bagi memastikan liputan yang mencukupi sejajar dengan bajet serta keperluan mereka. 

Biasanya, insurans kebakaran pemilik kediaman disertakan melalui pinjaman perumahan, bagaimanapun liputan ini agak terhad terutamanya perlindungan ke atas struktur bangunan tanpa sebarang insurans bagi isi rumah bernilai tinggi seperti sofa, televisyen dan mesin basuh.

“Insurans rumah di Malaysia lazimnya terdiri daripada perlindungan untuk bangunan dan isi rumah. Perlindungan ini bukan sahaja terhad kepada kerosakan kebakaran tetapi juga melindungi rumah termasuk harta benda anda daripada pelbagai risiko, seperti banjir dan kecurian.

“Pemilik rumah perlu meluangkan masa bagi menyemak semula polisi mereka secara menyeluruh, untuk memastikan mereka mempunyai perlindungan yang mencukupi, selaras dengan peruntukan dan keperluan mereka,” tambah Habbig.

Untuk maklumat lanjut mengenai Perlindungan Kediaman Pintar, layari https://www.allianz.com.my/personal/home-motor- and-travel/home/smart-home-cover.html

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan