LUMUT, 24 Jan (Bernama) -- Pusat Hidrodinamik Tangki Ombak Universiti Kuala Lumpur kampus Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) bakal memberi impak besar kepada industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) maritim negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata fasiliti tangki ombak bertaraf antarabangsa itu, berpotensi memperkukuh penyelidikan, inovasi, serta pembangunan modal insan dalam sektor kejuruteraan marin dan maritim.
“Difahamkan ia adalah satu-satunya di rantau ASEAN. Ia perlu dimanfaatkan oleh institusi kemahiran yang mempunyai kursus yang sama (maritim), tanpa perlu kita hantar mereka ke luar negara,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke UniKL MIMET di sini hari ini.
Dalam lawatan tersebut Ahmad Zahid turut melawat dan merasmikan pusat hidrodinamik tersebut, selain meninjau dermaga dan pembuatan kapal di institusi itu.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pusat Hidrodinamik Tangki Ombak UniKL MIMET dibina secara khusus untuk aktiviti pembelajaran, penyelidikan dan konsultasi, melibatkan model kapal dan struktur offshore di laut dalam.
Dibina dengan pelaburan sebanyak RM12.7 juta di bawah peruntukan RMK-11, ia dilengkapi dengan 20 paddles untuk menjana model ombak yang mampu mencecah setinggi 0.5m (anggaran bersamaan 25-50 meter ombak sebenar, bergantung kepada skala model).
Selain mampu menghasilkan variasi ombak berbentuk regular, irregular dan oblique, ia juga dilengkapi dengan platform bergerak yang boleh menunda model kapal pada kelajuan maksimal 1.5m/s (bersamaan 15-18 knots kelajuan kapal sebenar).
Ia mampu memberi impak dan manfaat yang kepada 80 sehingga 100 pelajar setiap semester untuk aktiviti pembelajaran dan penyelidikan, terutamanya pelajar-pelajar UniKL MIMET.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan KPT bagi berkolaborasi melaksanakan program jangka panjang melahirkan lebih ramai tenaga kejuteraan maritim negara.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata pihaknya, akan mengadakan libat urus UniKL MIMET untuk perancangan proses menaik taraf sistem pengajian termasuk modul pendidikan maritim berasaskan kecerdasan buatan, IoT dan robotik di institusi berkenaan.
-- BERNAMA