SHAH ALAM, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Selangor menyasarkan kira-kira 30,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 22 Jan.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata dianggarkan lebih 20,000 pengunjung hadir setakat 24 Jan ke karnival yang julung kali diadakan dalam usaha kerajaan negeri menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
"Jadi saya yakin jumlah pengunjung akan mencapai sasaran kerana ia belum lagi dikira jumlah yang hadir pada hari ini (25 Jan) dan esok (26 Jan)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Perkampungan Budaya Selangor 2025 yang disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Dataran Kemerdekaan Shah Alam semalam.
Dalam pada itu, Borhan berkata kerajaan negeri berhasrat memperluas penganjuran karnival itu ke daerah lain bagi terus memperkasakan seni warisan di Selangor.
“Ini antara usaha untuk bawa keunikan kita ke daerah lain, dan pelancong pun boleh singgah melawat serta merasai kemeriahan semua budaya masyarakat berbilang kaum yang ada di Selangor,” katanya.
Karnival berkenaan menampilkan pelbagai pengisian antaranya persembahan kebudayaan, jualan kraf tangan, bengkel serta reruai makanan tradisi di Pasar Saloma.
Penganjuran julung kali itu turut diserikan dengan pertandingan permainan tradisional seperti gasing pangkah, tali getah, dam gergasi, congkak, batu seremban dan terompah gergasi.
-- BERNAMA