AM

ANGKASA KOMITED PERKUKUH AGENDA PENGHIJAUAN MALAYSIA SEMPENA IYC 2025

26/01/2025 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) komited dalam menjayakan Agenda Nasional Penghijauan Malaysia melalui pemasangan pencahayaan di sepanjang laluan Titian Silara atau Canopy Walk di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL). 

Inisiatif itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan.

Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) Datuk Kamarudin Ismail berkata inisiatif itu sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan Dekad Pemulihan Ekosistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) 2021-2030.

“Ini adalah satu lagi inisiatif ANGKASA untuk meningkatkan nilai tarikan dalam mempromosikan ekopelancongan TERKL, yang merupakan satu-satunya kawasan paru-paru hijau di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Langkah ini juga adalah simbol usaha bersepadu kita untuk menjadikan TERKL sebagai destinasi pilihan, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi antarabangsa, terutamanya sempena Kepengerusian ASEAN 2025,” katanya selepas merasmikan Program Penghijauan Malaysia CSR CoopCare dan Pencahayaan Titian Silara sempena IYC 2025 dan S@TER Siri 1 di sini hari ini.

Kamarudin berkata sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk memperkenalkan program pencahayaan yang merupakan program rintis itu.

“Jadi kalau ia dapat sambutan, mungkin kita juga akan buka kepada agensi-agensi lain untuk bekerjasama,” katanya.

Mengulas tema IYC 2025 iaitu Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat, beliau berkata ia mencerminkan sumbangan sektor koperasi sebagai model ekonomi dan sosial yang adil dan penuh ihsan, bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“ANGKASA, sebagai badan puncak gerakan koperasi negara yang menaungi 16,009 koperasi dengan 7.2 juta keanggotaan di seluruh Malaysia memiliki kapasiti untuk mendorong kelangsungan pembangunan, ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui inisiatif kolektif,” katanya.

Beliau berkata sejak 2021, ANGKASA telah melaksanakan 36 program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok melibatkan penanaman hampir 6,000 pokok dengan penyertaan lebih 10,000 peserta.

Selain itu, ANGKASA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) merancang pelbagai program sempena IYC 2025.

Antara program yang bakal dianjurkan ialah Dialog Koperasi ASEAN 2025, Konvensyen Pemerkasaan Koperasi Kebangsaan, Coop Treasure Hunt 2025, Bulan Koperasi Kebangsaan, Hari Koperasi Negara dan Seminar Youth for Cooperative Futures.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan