AM

KOMITMEN ANWAR ANGKAT MARTABAT KUMPULAN RENTAN SEJAK EMPAT DEKAD LALU - IDE

26/01/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan golongan miskin dan rentan di negara ini bukan perkara baharu, malah usaha beliau sudah bermula sejak sekian lama, bahkan sebelum memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pengarah Eksekutif IDE Research Centre Amidi Abdul Manan, berkata dedikasi Anwar dalam isu ini turut diiktiraf Ketua Penasihat Bangladesh Prof. Muhammad Yunus, ketika menjadi panel dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, yang turut dihadiri Anwar, baru-baru ini.

“Kenyataan Prof. Muhammad Yunus di Forum Ekonomi Dunia berhubung Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah bukti nyata komitmen Perdana Menteri dalam memperjuangkan nasib kumpulan rentan miskin di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2006,  dikenali atas kejayaannya memperkenalkan sistem pinjaman mikro kredit untuk membantu golongan tidak berkemampuan untuk memulakan perniagaan jangka panjang apabila Bangladesh mengalami krisis kebuluran pada 1974.

Ketika menjadi panel dalam sesi WEF bertajuk "ASEAN, Even Stronger Together", Muhammad yang juga pengasas Grameen Bank menyebut bahawa Malaysia merupakan negara pertama yang mengadaptasi idea mikro kredit beliau melalui penubuhan AIM. Usaha ini dipelopori Anwar Ibrahim ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

Menurut Amidi, pada 1987, Anwar telah mengarahkan Universiti Sains Malaysia (USM), yang berada di bawah kementeriannya ketika itu, untuk menjalankan kajian mengenai kesesuaian konsep Bank Grameen di Malaysia.

“Kajian ini diketuai oleh Prof. Dr. Shukor Kassim dan Dr. Gibbon, yang akhirnya membawa kepada penubuhan AIM,” katanya.

Amidi turut menelusuri rekod perjuangan Anwar dalam membela golongan miskin, yang bermula sejak tahun 1974. Ketika itu, Anwar, sebagai pemimpin mahasiswa, memimpin demonstrasi di Baling untuk membela nasib pekebun kecil getah yang terhimpit akibat kejatuhan harga getah.

“Pada 1985, semasa menjadi Menteri Pertanian, Anwar memperkenalkan Pasar Tani sebagai usaha memerangi penindasan orang tengah terhadap petani miskin di luar bandar,” jelasnya.

Amidi juga menyentuh definisi ihsan yang diberikan oleh Anwar dalam buku Membangun Negara MADANI, yang diterbitkan pada 2022.

“...ihsan adalah perasaan mendalam untuk menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha mencari jalan untuk mengatasinya,” katanya.

Menurut Amidi, kerangka MADANI merupakan kemuncak pengalaman Anwar selama empat dekad dalam perkhidmatan awam serta belasan tahun berfikir tentang masa depan negara.

“MADANI bukan sekadar slogan, tetapi manifestasi kasih sayang dan taat setia seorang pejuang terhadap negaranya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan