Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, didorong oleh penarafan positif terkini oleh Moody’s terhadap penarafan kredit berdaulat Malaysia, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.3710/3790 berbanding dolar AS daripada 4.3750/3800 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penarafan itu menunjukkan agensi penarafan kredit tersebut menerima komitmen kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kedudukan fiskal.
“Moody's telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada 'A3' dengan tinjauan 'stabil'. Ini menunjukkan agensi tersebut mengiktiraf usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal, yang dijangka menurun daripada 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 kepada 3.8 peratus daripada KDNK tahun ini.
“Oleh itu, sokongan terhadap ringgit dijangka ketara dalam jangka sederhana hingga jangka panjang berikutan mata wang tersebut masih berada di bawah nilai sebenar,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini apabila keputusan penggubal dasar akan memberikan panduan mengenai hala tuju dasar ekonomi.
“Pasaran secara umumnya menjangka FOMC akan mengekalkan Kadar Dana Persekutuan pada 4.50 peratus. Pelabur ingin melihat penilaian terkini, terutamanya selepas perkembangan baru-baru ini berkaitan tarif AS,” katanya.
Beliau berkata cadangan sekatan dan tarif ke atas Colombia oleh pentadbiran AS berikutan keengganannya untuk membenarkan dua pesawat tentera AS menghantar pulang pendatang, juga boleh membentuk sentimen.
Mohd Afzanizam mengunjurkan ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil RM4.37 hingga RM4.38 dalam masa terdekat.
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8066/8119 daripada 2.8115/8149 pada Jumaat lepas dan naik berbanding euro kepada 4.5747/5831 daripada 4.5911/5964. Bagaimanapun, ia rendah berbanding pound kepada 5.4454/4554 daripada 5.4373/4435.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit turut diniagakan kebanyakannya tinggi.
Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9696/13.0037 daripada 13.0015/0241 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2411/2476 daripada 3.2482/2522 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.50/7.51.
Mata wang tempatan, bagaimanapun, tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 270.2/270.8 daripada 270.5/270.9 pada Jumaat lepas.
-- BERNAMA