EKONOMI

DNB, EDOTCO TINGKATKAN PENGALAMAN PENGEMBARA MELALUI 5G DI KLIA, KLIA2

27/01/2025 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Digital Nasional Bhd (DNB) dan EDOTCO Group telah menyiapkan pemasangan 5G In-Building Solutions (IBS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) (KLIA2) untuk meningkatkan ketersambungan untuk pengembara dan pelawat.

DNB dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata pencapaian ini dicatatkan ketika Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, menunjukkan komitmen negara untuk meningkatkan infrastruktur digital di hab pengangkutan utama.

“Pemasangan itu siap dalam tempoh dua bulan, ia diaktifkan pada Jumaat, pada majlis penyerahan tugas antara DNB, EDOTCO Group, dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB),” katanya.

"5G IBS membolehkan pengguna MAHB menikmati sambungan lebih pantas dan lebih dipercayai di bangunan awam dan komersial, memastikan pengalaman digital yang lancar," katanya.

Liputan dalam bangunan itu juga membolehkan perniagaan dan perusahaan melaksanakan penggunaan 5G baharu untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memberikan nilai lebih baik kepada pelanggan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif DNB Datuk Azman Ismail berkata syarikat itu komited untuk mengembangkan infrastruktur 5G merentasi kemudahan strategik, komersial dan kerajaan.

Beliau berkata pemasangan 5G IBS di KLIA dan KLIA2 adalah sebahagian daripada usaha berterusan DNB untuk menyediakan sambungan dalam bangunan merentasi bangunan strategik dan komersial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Maklumat MAHB Vijay Kumar Dayinde berkata penyepaduan infrastruktur 5G di KLIA adalah peningkatan transformatif yang menambah baik kecekapan operasi dan keselesaan penumpang dengan memanfaatkan kelajuan 5G, kependaman rendah dan kapasiti data tinggi.

“Ia menyokong peranti Internet Pelbagai Benda (IoT), penderia pintar dan penyelesaian digital termaju, membolehkan kami memenuhi permintaan yang berkembang sambil mengutamakan kecekapan, kepuasan dan daya tahan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan