JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI JATUH BOT DI ROMPIN DITEMUKAN LEMAS

27/01/2025 02:38 PM

KUANTAN, 27 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari sebuah bot di Jeti Sungai Puteri, Kuala Rompin, Rompin, Sabtu lepas ditemukan lemas hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata mayat Syed Khalid Syed Ahmad Munshee, 50, dijumpai pada 11.45 pagi terdampar di beting pasir.

"Mangsa ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat bersama orang awam kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salahuddin berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.25 tengah hari.

Media sebelum ini melaporkan Syed Khalid yang berasal dari Tanjung Pahang Tua, Pekan, terjatuh ketika melakukan ujian bot sekitar 6 petang berhampiran jeti berkenaan.

-- BERNAMA

 

TAG: Pahang, bomba, lemas, Rompin, polis


ANW ANW SZJ

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan