KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd menjangkakan sebanyak 60 tawaran awam permulaan (IPO) akan disenarai pada 2025 dengan permodalan pasaran berjumlah RM40.2 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata pada 2024, bursa tempatan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai bursa saham terkemuka ASEAN apabila mencatatkan 55 penyenaraian baharu yang mengumpul RM7.4 bilion dan menyumbang kepada permodalan pasaran berjumlah RM31.4 bilion.
“Tahun ini kita bertambah baik lagi dengan 60 IPO. Syarikat yang akan terlibat adalah dari sektor kesihatan, tenaga, pembinaan dan perdagangan. Ia merupakan kumpulan yang pelbagai,” katanya.
Muhamad Umar juga menekankan rancangan penyenaraian semula MMC Ports dan menyifatkannya sebagai penambahan penting kepada segmen infrastruktur bursa berkenaan.
“Kami mengalu-alukan kemasukan semula MMC Ports ke bursa,” katanya pada taklimat media susulan Keputusan Tahun Kewangan Bursa Malaysia, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata asas ekonomi Malaysia yang kukuh menunjukkan pasaran modal dijangka mencapai tahun yang teguh dan berdaya tahan sekali lagi.
"Tinjauan yang menggalakkan ini dijangka dapat mengekalkan keyakinan pelabur, merangsang pelaburan dan meningkatkan aktiviti pasaran," katanya.
Sebanyak dua syarikat telah diluluskan untuk pasaran Utama dan akan disenaraikan mulai Mac, manakala 15 syarikat telah diluluskan untuk penyenaraian dalam pasaran ACE, kata Abdul Wahid.
“Dari segi purata nilai pasaran, tahun lepas adalah sekitar RM620 juta bagi setiap syarikat, dan tahun ini kami menyasarkan RM670 juta bagi setiap syarikat, termasuk syarikat kecil dan besar,” katanya.
Muhamad Umar berkata prestasi ekonomi yang teguh pada 2024, disokong oleh kekuatan utama negara dalam sektor eksport, penggunaan domestik yang berdaya tahan, dan peningkatan yang menonjol dalam pelaburan, dijangka memupuk persekitaran pelaburan yang kondusif pada 2025.
“Selain itu, kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan meningkatkan lagi persekitaran yang positif ini,” katanya.
Beliau berkata sebagai antara pasaran berprestasi tinggi di ASEAN tahun lepas, Bursa Malaysia yakin dengan berhati-hati bahawa momentum pertumbuhan dalam pasaran domestik dijangka terus kekal, didorong oleh kemajuan dasar yang berjaya dan pertumbuhan ekonomi global yang stabil.
Bagaimanapun, Muhamad Umar mengakui cabaran luar yang boleh mempengaruhi trajektori ini, termasuk dasar perdagangan Amerika Syarikat di bawah presiden yang baru dipilih, hala tuju kadar faedah oleh bank pusat utama dan pemulihan ekonomi China.
-- BERNAMA