KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Malaysia mahu menumpukan aspek penglibatan strategik dengan rakan perjanjiian perdagangan bebas (FTA) dan pasaran sedang pesat membangun pada 2025 dalam usaha meningkatkan eksportnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata negara-negara pasaran sedang pesat membangun itu terbukti mencatat pertumbuhan ketara selama beberapa tahun lamanya, termasuk di kawasan seperti Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin.
Pada masa sama, katanya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang giat merebut peluang dengan pasaran bukan tradisional yang juga rakan FTA Malaysia seperti Peru dan Mexico.
“Manfaat FTA ini termasuk tarif berkadar sifar dan akses pasaran utama yang menjadikan produk dan perkhidmatan Malaysia lebih menarik serta berdaya saing," katanya dalam rakaman awal ucaptama beliau pada acara Prestasi Perdagangan Malaysia 2024: Mengemudi Perdagangan 2025 di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata pada tahun lepas, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensi-agensinya turut menjadi sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke Mesir dan negara anggota BRICS seperti Brazil dan India bagi mengukuhkan hubungan perdagangan.
"Pada dua minggu lepas misalnya, saya bersama Perdana Menteri berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi usaha libat urus untuk pasaran Timur Tengah,” katanya yang turut berkongsi Malaysia meneruskan usaha untuk memeterai lebih banyak perjanjian perdagangan dua hala.
Pada 14 Januari lepas, Malaysia telah memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan UAE.
“Ini merupakan FTA pertama Malaysia dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan menjadi rekod bagi negara sebagai FTA paling pantas dapat dimuktamadkan iaitu hanya 11 bulan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata MITI juga dalam proses meningkatkan lagi jangkauannya ke bandar-bandar Tahap 2 di China dan Indonesia yang menjadi sebahagian daripada strategi kepelbagaian dengan tumpuan ke atas bandar seperti Chongqing, Chengdu, Nanjing, Medan, Surabaya dan Pontianak.
“Bandar- bandar ini sedang melalui proses pembandaran yang pesat dan pertumbuhan ekonomi dengan pertumbuhan penduduk yang ketara dan akan mewujudkan permintaan besar bagi produk serta perkhidmatan,” katanya.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Tengku Zafrul berkata Malaysia juga menyasarkan untuk meletakkan rantau ini sebagai hab perdagangan dan pelaburan dengan memperkukuh kerjasama ekonomi selain meningkatkan lagi daya tahan rantaian bekalan.
“Pemeteraian seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menjadi mekanisme penting bagi menangani gangguan atau perubahan perdagangan global.
“Rangka kerja ini meningkatkan rantaian bekalan serantau dan mengembangkan akses pasaran bagi perniagaan Malaysia, sekali gus menjadi asas kukuh untuk mencatat pertumbuhan berterusan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Malaysia mencapai rekod atau nilai tertinggi bagi perdagangannya dalam 2024 iaitu RM2.88 trilion atau peningkatan sebanyak 9.2 peratus daripada angka pada 2023.
Eksport juga meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion -- kali kedua melepasi RM1.5 trilion selepas 2022 dengan eksport mencecah RM1.550 trilion.
Selain itu, import meningkat 13.2 peratus kepada RM1.371 trilion yang menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM136.88 bilion -- nilai tertinggi dalam sejarah negara.
Reezal Merican berkata momentum positif yang diraih pada 2024 akan menjadi pemangkin bagi memacu MATRADE meningkatkan lagi prestasi perdagangan Malaysia pada tahun ini.
Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif dan program MATRADE tahun ini, termasuk menyertai dalam sekurang-kurangnya 24 pameran perdagangan seperti Gulfood, Pertunjukan Udara Paris dan Semicon SEA.
MATRADE juga, katanya, akan mempunyai platform pintar dan interaktif -- MADANI Digital Trade (Perdagangan Digital MADANI) bagi rakan, pengeksport, pengimport dan pelanggan.
Agensi itu akan turut melancarkan Persidangan Wanita Dalam Eksport bagi mengiktiraf usahawan wanita serta memperkasa mereka untuk terus cemerlang dalam pasaran tempatan serta global.
Reezal Merican berkata untuk julung kalinya, MATRADE akan menganjurkan Hari Anugerah Eksport Kebangsaan bagi menghargai sumbangan cemerlang kalangan pengeksport negara ini.
-- BERNAMA