AM

PM ANWAR HARAP SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA JADI TITIK MULA KUKUHKAN SEMANGAT KEBERSAMAAN

28/01/2025 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut esok, menjadi satu titik permulaan baharu dan segar untuk terus memperkukuh semangat kebersamaan dan kekeluargaan demi negara.

“Dalam semangat menyambut perayaan besar bagi kaum Cina yakni Tahun Baharu Cina, kita kembali diingatkan oleh Confucius yang menekankan betapa keharmonian menjamin kekuatan.

“Lantas, falsafah kenegaraan ini bertepatan dalam menjelmakan sebuah tatanan (sistem) yang MADANI, yang menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi sambil memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, Gong Xi Fa Cai kepada seluruh kaum Cina,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengikut kalendar lunar, Tahun Baharu Cina disambut esok merupakan Tahun Ular Kayu yang membawa harapan baharu termasuk semangat persaudaraan, kejayaan, dan pembaharuan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan