AM

TAHUN BAHARU CINA: ALIRAN TRAFIK PERLAHAN, 'SMART LANE' DIBUKA KURANGKAN KESESAKAN

29/01/2025 11:23 AM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan pagi ini susulan pertambahan jumlah kenderaan pulang ke kampung halaman sempena Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan setakat 10.30 pagi ini, trafik semakin meningkat di sekitar Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E2 menghala selatan, Lebuhraya PLUS E1 menghala utara dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Menurut jurucakap itu beberapa laluan lorong pintar (smart lane) sudah diaktifkan bagi memudahkan perjalanan pulang pengguna jalan raya ke kampung halaman.

“Laluan terbabit antaranya di Lebuhraya PLUS KM293.5 hingga KM289.5 arah selatan dari Southville City ke Putra Mahkota, KM194.8 hingga KM184.4 arah selatan dari Ayer Keroh ke Jasin dan KM302.2 hingga KM297 arah utara dari Tapah ke Gopeng,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jurucakap berkenaan turut memaklumkan terdapat kemalangan di KM429.5 arah utara dari Sungai Buaya ke Bukit Beruntung yang menyebabkan trafik perlahan namun tiada lorong terhalang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan