AM

MALAYSIA BAKAL TERIMA KUNJUNGAN PELBAGAI PEMIMPIN DUNIA, PERKUKUH HUBUNGAN - PM ANWAR

31/01/2025 01:55 PM

IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Malaysia bakal menerima kunjungan pelbagai pemimpin dunia mulai minggu depan, sekali gus memperkukuh hubungan baik dengan semua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar berkata kunjungan tersebut termasuk lawatan daripada Presiden Uzbekistan Shavkat Miromonovich Mirziyoyev, diikuti Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, pada Februari ini.

“Kita memerlukan lebih ramai rakan strategik pada masa ini. Kita tidak boleh bergantung kepada satu negara sahaja.

"Dahulu, kita sering berpihak ke sana dan ke sini. Kini, kita teruskan usaha menarik pelaburan dari Amerika Syarikat, memperbaiki hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU), serta mempererat kerjasama dengan China," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Yang Dipertua PCCCI Datuk Liew Chee Meng.

Anwar menegaskan bahawa China merupakan sebuah negara penting di rantau ini, dan hubungan baik dengan negara tersebut amat diperlukan bagi manfaat ekonomi serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Meskipun terdapat pihak tertentu yang mempertikaikan pelaburan besar dari China ke negara ini, saya melihatnya sebagai pemikiran yang masih terjajah.

"Ada yang mendakwa kita menyerahkan segala-galanya kepada China. Ini adalah pemikiran yang salah. Bagi kita, mana-mana negara yang ingin melabur, termasuk China, akan diberikan galakan. Jika mereka bersikap baik terhadap kita, kita akan bersikap lebih baik terhadap mereka. Inilah dasar kita," katanya.

Mengenai kebimbangan terhadap model kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek, Anwar menegaskan bahawa perkembangan teknologi tersebut perlu dimanfaatkan secara bijak dan bertanggungjawab.

Beliau turut menekankan bahawa Malaysia tidak boleh terperangkap dalam pemikiran lama yang bergantung kepada satu negara sahaja.

"Kita akan terus mengekalkan hubungan baik dengan semua negara. Jika ada negara yang mempunyai masalah dengan China, itu masalah mereka, bukan masalah kita," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa kestabilan politik, ketelusan kerajaan, dan keberkesanan jentera pentadbiran adalah faktor penting bagi memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang hebat.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan