DUNIA

BAZNAS SASAR US$46 JUTA UNTUK PEMBINAAN SEMULA GAZA

31/01/2025 07:28 PM

JAKARTA, 31 Jan (Bernama-ANTARA) -- Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) Indonesia menyasarkan untuk mengumpul dan mengagihkan dana kebajikan sebanyak Rp750 bilion (US$46 juta) bagi membina semula pelbagai kemudahan awam di Palestin, termasuk hospital, sekolah dan masjid, lapor agensi berita ANTARA.

"Bagi membangunkan kemudahan awam dengan baik, kami memerlukan anggaran belanjawan sebanyak Rp750 bilion," kata Ketua Transformasi Digital Nasional Baznas, Nadratuzzaman Hosen, seperti dipetik dalam kenyataan agensi itu pada Jumaat.

Beliau menekankan Baznas telah aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin, dengan menyatakan bahawa setakat Selasa lepas, sebanyak 45 lori membawa barangan bantuan yang dikumpulkan daripada rakyat Indonesia telah memasuki Gaza melalui Pintu Masuk Rafah di Mesir.

Beliau berharap gencatan senjata yang dipersetujui antara pejuang Palestin Hamas dan tentera pendudukan Israel akan berkekalan, sekali gus membolehkan agensi kebajikan itu serta institusi lain mengagihkan bantuan dengan lebih lancar.

"Dengan izin Tuhan, kami akan melaksanakan proses pemulihan dan pembinaan semula di Gaza sepanjang tempoh gencatan senjata ini. Kami berharap gencatan senjata ini menjadi kekal agar pembinaan semula Gaza dapat dilaksanakan dengan lebih bebas," katanya.

Hosen turut menegaskan kepentingan memanfaatkan tempoh gencatan senjata untuk menangani keperluan mendesak penduduk Gaza, khususnya air dan makanan.

"Baznas akan terus komited dalam usaha ini, melaksanakan amanah bagi mengagihkan dana yang telah dikumpulkan. Kami bekerjasama dengan rakan strategik yang dipercayai bagi memastikan bantuan sampai dengan tepat dan berkesan," katanya.

Selain menghantar barangan bantuan, beliau berkata Baznas Indonesia turut bersedia menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin yang ingin melanjutkan pengajian di negara itu.

"Kami bersedia memberikan biasiswa kepada mereka yang berminat melanjutkan pengajian di Indonesia atau negara lain. Tahun lepas, cawangan Baznas di Lampung telah menaja beberapa pelajar Gaza untuk melanjutkan pengajian di Universiti Lampung," katanya.

-- BERNAMA-ANTARA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan