AM

PEMBELIAN 30 PESAWAT PEJUANG DARI KUWAIT DIMUKTAMAD TAHUN INI - ADLY

01/02/2025 06:46 PM

ALOR GAJAH, 1 Feb (Bernama) -- Pembelian 30 pesawat pejuang jenis F/A-18C D Hornet terpakai dari Kuwait dijangka dimuktamadkan tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata perkara itu selepas semua dokumentasi antara Kuwait Air Force (KAF) dan Amerika Syarikat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Setakat ini perolehan 30 pesawat berkenaan di peringkat akhir perbincangan selepas KAF memberi lampu hijau, selepas kedua-dua pihak bersetuju pada dasarnya dengan hasrat kita ingin mendapatkan segera pesawat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hi-Tea dan penyampaian Ganjaran Hilang Upaya kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Penyayang, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah di sini hari ini.

Adly berkata pembelian pesawat pejuang tersebut adalah bagi menambah aset dimiliki TUDM sekali gus memperkukuh lagi pertahanan negara.

Beliau berkata tindakan membeli pesawat pejuang tersebut tidak merugikan negara, kerana ia masih boleh digunakan untuk satu tempoh lama.

“Ada keperluan mendesak kenapa perlunya pembelian pesawat pejuang terpakai milik KAF itu berbanding pembelian baharu yang perlu menunggu satu tempoh masa yang tidak dapat ditentukan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan