KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Seramai 13 penuntut universiti telah diberikan pemakluman untuk hadir memberi keterangan esok bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah di hadapan sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata setakat ini beberapa penuntut telah mengesahkan kehadiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.
"Saya boleh sahkan ada beberapa yang akan datang untuk memberi keterangan tetapi tidak dapat sahkan berapa orang yang akan hadir," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Dalam perhimpunan itu, kira-kira 200 peserta telah berarak dari pusat beli-belah berkenaan hingga ke Dataran Merdeka.
-- BERNAMA