DUNIA

KANADA AKAN KENAKAN TARIF 25 PERATUS KE ATAS IMPORT SEBAGAI TINDAK BALAS KEPADA AS

02/02/2025 04:38 PM

WASHINGTON, 2 Feb (Bernama-dpa) -- Kanada akan mengenakan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas terhadap tarif yang dikenakan oleh AS, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump menandatangani arahan pelaksanaan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Mexico dan Kanada, serta 10 peratus ke atas produk dari China. Sumber tenaga dari Kanada akan dikenakan kadar tarif yang lebih rendah, iaitu 10 peratus.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata negara itu akan mengenakan kadar tarif setara sebanyak 25 peratus ke atas import dari AS yang dianggarkan bernilai sehingga US$155 bilion.

"Tindakan yang diambil oleh Rumah Putih memecahbelahkan, bukannya menyatukan," kata Trudeau dalam satu sidang media.

"Jika Presiden Trump mahu membawa era keemasan baharu untuk Amerika Syarikat, langkah yang lebih baik adalah untuk bekerjasama dengan Kanada, bukan menghukum kami."

Rumah Putih menyatakan yang tarif itu dikenakan sebagai tindak balas terhadap tiga negara yang didakwa membenarkan dadah terlarang memasuki AS.

-- BERNAMA-dpa

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan