AM

PM ANWAR, AHLI PARLIMEN KERAJAAN PERPADUAN HADIR TAKLIMAT PRAPERSIDANGAN DEWAN RAKYAT

02/02/2025 07:02 PM

PUTRAJAYA, 2 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana di sini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta barisan Jemaah Menteri pada sesi perbincangan secara tertutup yang bermula tengah hari tadi dan berakhir kira-kira 5 petang.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan bermula esok dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu menjadi tumpuan utama.

Berdasarkan takwim menerusi laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Feb.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb, menurut takwim itu.

Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain bermula 26 Feb.

Ia membabitkan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024, RUU Majlis Media Malaysia 2024 serta RUU BERNAMA (Pindaan) 2024.

Selain itu, Kertas Putih Agenda Negara Menua juga akan dibentang di Dewan Rakyat yang menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan