AM

JUMLAH MANGSA BANJIR DI SABAH, SARAWAK TERUS BERKURANGAN PETANG INI

02/02/2025 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak petang ini terus berkurangan, manakala beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup.

Di SABAH, jumlah mangsa berkurangan kepada 675 orang berbanding 1,651 orang pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan daerah Beaufort, Paitan dan Pitas telah pulih daripada bencana itu, menjadikan hanya dua daerah yang masih dilanda banjir.

“Lahad Datu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 520 orang, diikuti Tongod (155). Dua daerah menunjukkan trend pemindahan mangsa juga tidak berubah,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu di SARAWAK, jumlah mangsa terus berkurangan dengan 10,973 orang masih berlindung di 49 PPS setakat 4 petang ini berbanding 12,116 orang pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, 14 PPS sudah ditutup berikutan keadaan banjir yang semakin pulih.

“Jumlah mangsa di bahagian Bintulu (melibatkan daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh) menurun kepada 5,075 orang berbanding 5,184 orang sebelum ini manakala  1,847 mangsa direkodkan di bahagian Serian (daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin) berbanding 2,617 mangsa pagi tadi.

“Mangsa banjir di bahagian Samarahan (daerah Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong) mencatatkan 1,487 orang berbanding 1,926 orang pagi tadi. Mangsa di Bahagian Sibu (daerah Sibu, Selangau dan Kanowit)  berkurangan kepada 1,187 orang berbanding 1,189,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 1,288 mangsa banjir dicatatkan di bahagian Miri (daerah Miri, Subis dan Beluru) manakala Bahagian Mukah (daerah Mukah dan Matu) pula 89 orang.

Sekretariat itu turut melaporkan jumlah mangsa banjir dijangka terus berkurangan berikutan makluman awal beberapa buah PPS lagi akan ditutup.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada pada 4 hingga 5 Feb di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah, di Sarawak.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan