KUCHING, 3 Feb (Bernama) -- Polis Sarawak mengeluarkan 3,804 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang pelaksanaan Op Selamat ke-23 sempena Tahun Baharu Cina.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata sebanyak 283 kes kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat kali ini, yang berlangsung selama enam hari bermula 28 Jan.
"Jumlah itu menunjukkan penurunan jika dibandingkan dengan 342 kes yang dicatatkan pada Op Selamat tahun lepas, iaitu penurunan 59 kes atau bersamaan -17.3 peratus.
"Bagi kemalangan maut, sebanyak tiga kes direkodkan pada Op Selamat ke-23, dengan kematian melibatkan masing-masing seorang penunggang motosikal, pemandu lori dan penumpang kenderaan pacuan empat roda," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mancha berkata jumlah kemalangan maut itu juga menurun berbanding tujuh kes yang dicatatkan pada pelaksanaan Op Selamat 21/2024.
-- BERNAMA