JENAYAH & MAHKAMAH

KERAJAAN DISARAN PERKENAL HUKUMAN TEGAS ATASI FITNAH DALAM BATAS DIBENARKAN UNDANG-UNDANG

03/02/2025 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Kerajaan disaran agar menggubal dan menambah baik undang-undang sedia ada bagi memastikan kebebasan bersuara dapat dilaksanakan dalam batas yang dibenarkan oleh undang-undang, tanpa menjejaskan ketenteraman awam.

Pakar Perlembagaan Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata walaupun kebebasan bersuara dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, namun ia mesti diimbangi dengan tanggungjawab yang lebih besar bagi mengawal penyebaran berita palsu dan fitnah.

"Undang-undang yang mengawal penyebaran berita palsu dan fitnah perlu diperbaharui. Ia bukan sahaja bagi memastikan kebebasan bersuara dilindungi, tetapi juga dilaksanakan dengan tanggungjawab yang sepatutnya.

"Hukuman sebatan dan ganti rugi yang tinggi contohnya perlu diperkenalkan, terutama bagi pesalah berulang terutama mereka yang terlibat dalam politik…ini kerana denda dan ganti rugi tidak memberi kesan yang cukup mendalam," katanya

Beliau yang juga Pengasas Jurisprudens Watan di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM) berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Malaysia Petang Ini, terbitan Bernama TV hari ini.

Wan Ahmad Fauzi mengulas tentang titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu kerajaan bersikap tegas dalam membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial yang boleh menyebabkan perpecahan, pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.

Pada masa yang sama, Dr Wan Ahmad Fauzi turut mencadangkan agar pendidikan mengenai bahaya fitnah dapat diterapkan pada peringkat awal, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Selain itu, beliau mencadangkan agar ahli politik yang terlibat dalam kes fitnah dihalang daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum sebagai hukuman tambahan, bagi mengelakkan penyalahgunaan kebebasan bersuara dalam arena politik.

Mengulas titah Sultan Ibrahim yang mahukan kerajaan mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan, bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, beliau menyarankan agar Kementerian Pendidikan Tinggi memberi perhatian yang lebih serius terhadap kajian sejarah perundangan negara. 

Beliau berpendapat dengan cara itu, negara dapat mempertahankan hak dan kedudukannya dengan lebih berkesan di pentas antarabangsa serta memastikan kebebasan bersuara dan kedaulatan negara terjamin dalam kerangka undang-undang yang lebih bertanggungjawab.

“Untuk melindungi negara, kita tidak perlu hanya menghala kepada penyelesaian ketenteraan. Kita mempunyai Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan ruang diplomatik yang luas.

“Namun, kelebihan kita dalam sesuatu isu akan hilang jika kita tidak mengkaji sejarah dengan mendalam. Inilah yang saya lihat apa yang masih terkurang," katanya sambil memberikan contoh yang berlaku dalam kes tuntutan Sulu dan isu Batu Puteh.

Sultan Ibrahim sewaktu menyampaikan Titah Diraja semasa istiadat berkenaan turut menitahkan kerajaan memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, walaupun ia hanya sekadar seketul batu karang di tengah lautan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan