Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 4 Feb (Bernama) -- Demi memastikan keaslian adat perkahwinan Jawa terus terpelihara, seorang tukang andam Indonesia sanggup merentasi lebih 1,500 kilometer dari Ponorogo, Jawa Timur ke Malaysia untuk menghidupkan kembali elemen tradisi itu dalam sebuah majlis perkahwinan di daerah ini.
Fadila Rahmatika, 40, yang berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang andaman berkata beliau terpanggil untuk membawa sentuhan autentik adat perkahwinan orang Jawa setelah melihat kebanyakan majlis yang berlangsung di negara ini tidak begitu menepati unsur tradisional kumpulan etnik terbesar di negara jiran itu.
“Kebanyakan perkahwinan bertemakan Jawa yang berlangsung di sini lebih menumpukan kepada busana pengantin sahaja.
“Tidak lengkap jika hanya pasangan pengantin sahaja yang mengikut tema Jawa tetapi tidak pada yang lain, seperti ahli keluarga, tukang ‘rewang’ yang lengkap berpakaian kebaya bagi perempuan dan berbaju ala batik bagi lelaki,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mengandam pasangan Nik Nur Elly Ezlieana Salikhin dan Muhammad Iqbal Sairi di Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir, di sini baru-baru ini.
Fadila yang mengusahakan perniagaan andaman bersama dua anaknya Meriza Kamela, 25, dan Faliha Rozana, 20, menjelaskan persiapan bagi majlis perkahwinan bertemakan Jawa memerlukan ketelitian tinggi bagi memastikan ia mengikut adat serta konsep asal yang diamalkan di Jawa, Indonesia.
“Untuk majlis ini, dengan kerjasama daripada keluarga dan bapa pengantin (Salikhin Mahmood) kami perlu menyiapkan kesemuanya dalam tempoh tiga minggu termasuklah makanan, pelamin, persembahan iringan dan pelbagai lagi,” katanya.
Beliau yang teruja berkongsi dengan penduduk setempat mengenai adat sebenar perkahwinan bertemakan Jawa berkata tetamu pada majlis itu turut dijamu dengan lauk-pauk tradisional bangsa itu seperti rawon, kulit lembu, asam pedas urat lembu, sambal goreng dan bakso, sambil diiringi persembahan barongan, iaitu antara elemen yang sering ditinggalkan dalam majlis di sini.
Fadila berkata selain tumpuan kepada busana pengantin, hiasan pelamin dengan latar bunga-bungaan dan hiasan daun kelapa turut ditampilkan kerana aspek dekorasi memainkan peranan penting dalam menyerlahkan keunikan adat perkahwinan kumpulan itu.
“Dalam adat perkahwinan Jawa, pasangan pengantin juga sepatutnya mengenakan beberapa persalinan yang melambangkan pelbagai tradisi seperti Adat Jawa Solo, Adat Jawa Jogja dan Adat Sunda yang disesuaikan dengan pakaian Muslimah,” katanya.
Sementara itu, pengantin perempuan Elly Ezlieana berkata pemilihan tema Jawa dalam perkahwinannya adalah sebagai usaha mengekalkan warisan nenek moyangnya yang berasal daripada Jawa Timur.
“Kebanyakan perkahwinan ala Jawa yang dilaksanakan di negara ini telah dicampur dengan konsep atau tema moden yang menghilangkan keasliannya,” katanya yang berhubung dengan Fadila menerusi media sosial.
-- BERNAMA