BATU KAWAN, 4 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan di hotel-hotel di negeri itu bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap tinggi terutama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Pengarahnya Mohamad Shoki Hamzah berkata langkah berkenaan bagi memastikan tahap keselamatan delegasi yang menginap di hotel-hotel terlibat.
"Kita ambil maklum tahun ini Malaysia jadi tuan rumah kepada Persidangan ASEAN termasuk di Pulau Pinang, jadi adalah menjadi tanggungjawab JBPM Pulau Pinang memastikan premis-premis terutama hotel di negeri ini berada dalam keadaan keselamatan yang tinggi.
"Memang hotel-hotel di Pulau Pinang sentiasa diperiksa untuk memastikan mematuhi tahap keselamatan yang ditetapkan dan bagi persidangan itu, untuk permulaan kami akan buat pemeriksaan di hotel yang akan didiami delegasi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2025 JBPM Pulau Pinang di ibu pejabat jabatan itu di sini hari ini.
Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 melibatkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan dan menteri oleh tujuh kementerian.
Antara mesyuarat yang telah diadakan ialah Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) ke-102 dan Mesyuarat Majlis Bersama ke-25 pada 15 hingga 17 Jan lepas sementara Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) pula dijadualkan pada Jun.
Mengulas lanjut, Mohamad Shoki berkata selain pemeriksaan keselamatan di hotel, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha hotel bagi membincangkan tahap keselamatan premis mereka.
Selain itu, katanya JBPM Pulau Pinang juga akan menjalankan program dan kempen kesedaran keselamatan hotel dalam kalangan penginap.
"Jadi mungkin lepas ini kalau kita tengok bila tetamu masuk hotel untuk menginap mungkin kita ada sedikit iklan-iklan kempen berkaitan dengan keselamatan kebakaran (fire safety) dan setakat ini kita tengok majoriti hotel di negeri ini berada dalam tahap keselamatan yang tinggi," katanya.
Malaysia mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, melambangkan aspirasi untuk membimbing blok serantau berusia 58 tahun itu ke arah masa depan yang lebih bersatu, dinamik dan mampan.
-- BERNAMA