KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Malaysia, menerusi kepengerusian ASEAN pada tahun ini akan meneruskan usaha strategik untuk memastikan tahap kesiapsiagaan negara-negara ASEAN dalam memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata usaha ini perlu diteruskan agar rantau ASEAN, termasuk Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global serta meraih manfaat ekonomi dan sosioekonomi yang mampan.
Katanya di bawah kepengerusian ASEAN 2025, DEFA merupakan antara Keberhasilan Utama Ekonomi yang telah dikenal pasti oleh kementerian untuk dimuktamadkan rundingannya menjelang akhir tahun ini.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berperanan dalam menggerakkan agenda utama integrasi ekonomi serantau di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2025 yang menekankan komitmen terhadap pembangunan saksama dan merapatkan jurang pembangunan.
“Ke arah itu, Malaysia menekankan dua pendekatan utama untuk melancarkan proses rundingan DEFA,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang ingin mengetahui perancangan kerajaan untuk memastikan rundingan DEFA dapat diselesaikan menjelang 2026 memandangkan tahap kesiapsiagaan digital yang berbeza antara negara ASEAN.
Liew berkata pendekatan pertama adalah melalui program peningkatan keupayaan dasar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Lebih 10 bengkel teknikal, sesi latihan dan dialog telah diadakan untuk Jawatankuasa Perunding DEFA pada 2024 dengan kerjasama pakar dalam bidang ekonomi digital dan organisasi antarabangsa seperti UNCTAD, WEF dan OECD.
“Pada tahun ini, program tersebut akan diteruskan dalam bidang pendigitalan yang lebih kompleks dan terkini terutamanya dalam penggunaan teknologi digital, pengurusan data dan perlindungan siber dalam rantaian perdagangan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan kedua adalah melalui pelaksanaan DEFA secara berperingkat dan berfasa, sebagaimana yang diamalkan ASEAN dalam pembentukan Komuniti Ekonomi terutamanya dalam perjanjian perdagangan bebas.
Menurutnya, pendekatan ini merangkumi tempoh tangguh atau jangka masa pelaksanaan yang berbeza bagi membolehkan sesetengah negara anggota membangunkan perundangan atau dasar berkaitan.
Liew turut menegaskan bahawa DEFA sejajar dengan agenda negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipacu teknologi digital serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.
“Ia selari dengan dasar kebangsaan seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan dasar-dasar sektoral kelolaan kementerian iaitu Rangka Tindakan Perdagangan Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya.
-- BERNAMA