AM

JOHOR DILANDA BANJIR, TIGA PPS DIBUKA

05/02/2025 04:34 PM

JOHOR BAHRU, 5 Feb (Bernama) -- Johor dilanda banjir dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kota Tinggi susulan hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata sebanyak 349 mangsa daripada 104 keluarga terjejas akibat bencana itu ditempatkan di PPS berkenaan setakat pukul 4 petang tadi.

“PPS yang diaktifkan ialah Dewan Muafakat Taman Desaru Utama dengan 183 mangsa, Dewan Kampung Baru Sungai Mas (34) dan Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar 1 (132).

“Kawasan yang terjejas melibatkan Taman Desaru Utama, Kampung Baru Sungai Mas dan Taman Penawar Harmoni,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, stesen Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil, Kota Tinggi dilaporkan berada pada paras amaran iaitu dengan bacaan 2.20 meter.

Beliau berkata keadaan cuaca di 10 daerah di Johor diramalkan mendung petang ini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan