KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Insolvensi Rentas Sempadan (CBI-REFORM-WC) dalam usaha reformasi undang-undang berkaitan insolvensi rentas sempadan sekali gus memastikan Malaysia selaras dengan standard antarabangsa.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan bersama hari ini.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa kerja berkenaan bertanggungjawab mengkaji penerimaan dan pemakaian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Seragam (Model Law) Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) mengenai Insolvensi Rentas Sempadan dan menyelaras Undang-Undang Seragam UNCITRAL dengan undang-undang tempatan.
Selain itu, jawatankuasa perlu mencadangkan dasar-dasar untuk memperkenalkan suatu perundangan tunggal atau akta berkaitan insolvensi rentas sempadan di Malaysia.
“Penerimaan dan pemakaian UNCITRAL Model Law akan dapat mengukuhkan sistem pengurusan pentadbiran insolvensi yang melibatkan aset rentas sempadan.
“Antaranya, perundangan baharu ini akan menyokong usaha rehabilitasi dalam kalangan syarikat tempatan yang melalui proses makanisme penyelamat korporat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan model perundangan tersebut juga akan menyediakan peruntukan untuk melicinkan proses penggulungan di bawah Akta Syarikat 2016 apabila aset dan hutang syarikat berada di lebih daripada satu negara.
Penggubalan undang-undang baharu itu disasarkan untuk dibentangkan pada sesi Parlimen Jun ini, tertakluk kepada keputusan dan persetujuan Jemaah Menteri.
“Usaha reformasi perundangan ini adalah sejajar dengan strategi Kerajaan MADANI dalam melaksanakan transformasi ekonomi yang mampan dan berdaya saing.
“Kejelasan serta ketelusan dalam sistem perundangan insolvensi rentas sempadan akan memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menarik pelaburan berkualiti tinggi,” menurut kenyataan itu.
Azalina dan Armizan mempengerusikan Jawatankuasa Utama Insolvensi Rentas Sempadan (CBI-REFORM-MC) secara bersama buat kali pertama pada 4 Feb lepas.
-- BERNAMA