JOHOR BAHRU, 7 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menetapkan 25 Feb sebagai tarikh keputusan permohonan peniaga Rosmaini Abd Raof bagi penangguhan hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya sehingga koma pada 2021.
Hakim Abu Bakar Katar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said dan Siti Fatimah Yahya serta peguam Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin, yang mewakili lelaki terbabit sebagai pemohon.
Rosmaini, 42, memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, peguam Kamal Hisham berhujah wujudnya keadaan istimewa atau khas supaya perintah penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu diberikan terhadap pemohon.
“Keadaan istimewa itu ialah ia kesalahan pertama pemohon selain terdapat persoalan undang-undang rumit, iaitu percanggahan antara akuan bersumpah dengan laporan polis oleh saksi pendakwaan yang perlu diputuskan mahkamah.
“Isu undang-undang ketiga ialah ketika perbicaraan kes ini di Mahkamah Sesyen, tidak ada seorang pun saksi mata yang melihat bagaimana mangsa kes ini mendapat kecederaan parah, dikemukakan," katanya.
Sementara itu, Juanita berkata keadaan yang dihujahkan peguam pemohon bukannya keadaan istimewa atau khas, sebaliknya ialah keadaan biasa yang sudah diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Selain itu, katanya kes berkenaan telah menggoncang ketenteraman masyarakat dan ia masih diikuti orang ramai hingga kini.
“Jika mahkamah menimbangkan ia kesalahan pertama pemohon tanpa melihat the gravity of offence, dibimbangi ia akan menyebabkan kemarahan masyarakat sekali gus merendahkan keyakinan mereka terhadap sistem kehakiman kita,” katanya.
Pada 9 Dis tahun lepas, Rosmaini dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri ketiganya, Jahidah Nordin@Sylvester, 47, sehingga koma, empat tahun lepas.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira pukul 6 pagi, 4 Mei 2021 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA