GOPENG, 7 Feb (Bernama) -- Kejadian tebing runtuh di Taman Bunga Raya, Tapah pada Selasa lepas bukan berpunca daripada paip bawah tanah milik Lembaga Air Perak (LAP), kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau berkata sebelum kejadian, aliran air di jajaran paip ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh lancar seperti biasa.
"Pemeriksaan mendapati paip bawah tanah milik LAP mengalami kebocoran setelah dihentam oleh tanah yang runtuh, jika paip LAP bocor kita dapat kenal pasti awal lagi kerana tekanan akan berkurangan untuk sampai ke LRA.
"Punca kepada tanah itu runtuh melibatkan banyak sebab seperti pergerakan tanah akibat daripada punca air yang berdekatan, gegaran dan lain-lain lagi tetapi dakwaan mengatakan jika punca tanah runtuh disebabkan paip bawah tanah milik LAP tidak tepat," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melawat kolam pembenihan ikan air tawar HTA (high technology aquaculture) Jalan Kampung Jawa, Kampung Changkat Tualang di sini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Mustaffa Kamil Ayub.
Mohammad Nizar berkata langkah segera sudah dilakukan LAP untuk memastikan paip berkenaan dapat dibaiki secepat mungkin dan langkah pencegahan telah diambil.
"Kerja-kerja membuat dinding penahan (sheet pile) telah pun siap untuk dua tingkat di atas bagi menahan tanah yang runtuh dan bahagian bawah telah siap dilakukan.
"Setakat ini kawasan-kawasan yang terganggu awal akibat kebocoran paip air mentah ini telah dapat kita bekalkan (air) semula secara berperingkat," katanya.
Beliau berkata kebocoran paip air mentah ke LRA Bukit Temoh mengakibatkan seluruh kawasan Bidor dan Tapah mengalami gangguan bekalan air termasuk beberapa kawasan di daerah Hilir Perak.
"Kita dimaklumkan setakat ini dalam tempoh dua hari lepas masalah gangguan air di kawasan terlibat akibat kejadian kebocoran paip ini hampir selesai sepenuhnya," katanya.
-- BERNAMA