AM

PERDA PERUNTUK RM49,500 UNTUK BANTUAN PERSEKOLAHAN

07/02/2025 08:27 PM

TASEK GELUGOR, 7 Feb (Bernama) -- Penerima bantuan Program Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) ‘Perda4U Kembali ke Sekolah’ bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan itu yang menurut mereka sangat membantu persiapan anak-anak ke sekolah.

Bantuan berjumlah RM49,500 itu meliputi baucar bernilai RM150 untuk 330 murid daripada golongan keluarga miskin, asnaf, ibu tunggal dan berpendapatan rendah (B40) bagi membeli pakaian, kasut dan stoking sekolah.

Suri rumah Norazura Rosidi, 43, berkata anak bongsu daripada empat anaknya menerima bantuan itu hari ini dan beliau bersyukur serta berterima kasih kepada pihak Perda yang menyalurkan sumbangan tersebut.

Beliau berkata bantuan RM150 itu mungkin dianggap kecil, namun bagi beliau dan suaminya Mohd Ida Adnan, 43, yang bekerja sendiri, ia sangat bernilai kerana dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

"Kesemua anak kami sedang belajar sekarang ini, anak yang sulung berumur 23 tahun dan nombor dua berusia 21 tahun di universiti iaitu peringkat ijazah sarjana muda serta diploma manakala dua lagi di tingkatan tiga dan darjah enam.

"Jadi bantuan yang saya terima hari ini untuk Puteri Hana Saffiya, 12, memang sangat membantu keluarga saya sekurang-kurangnya belanja untuk barangan keperluan sekolah dia sudah ada dan hari itu dapat Bantuan Awal Persekolah, jadi cukuplah untuk naik sekolah nanti," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Program Perda4U Kembali Ke Sekolah di Dewan Muhibah Merbau Kudung, di sini hari ini

Pada program itu, Pengerusi Perda Datuk Shaik Hussein Mydin menyampaikan baucar berkenaan kepada 330 murid daripada 36 sekolah rendah bimbangan Perda di Pulau Pinang.

Seorang lagi penerima, Nor Safiza Ahmad Suffian, 35, berkata suaminya bekerja sebagai pemandu lori dan tahun ini tiga daripada lima anaknya bersekolah termasuk di tadika justeru memerlukan banyak perbelanjaan. 

Beliau sangat bersyukur anak sulungnya Izz Al'uqayla Mohd Fitri, 8, menerima bantuan hari ini memandangkan barang keperluan sekolah agak mahal.

“Kami dapat berjimat untuk beli keperluan dia nanti dan hanya keluarkan duit untuk dua lagi adiknya yang berada di darjah satu dan tadika,” kata suri rumah itu.

Sementara itu, Shaik Hussein berkata program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah Perda yang berorientasikan pemberian bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal dan keluarga B40 di dalam kawasan operasi lembaga itu.

"Kita bagi baucar untuk mereka membeli barang keperluan untuk persekolahan nanti dan saya juga sumbangkan bantuan peribadi daripada saya sendiri tunai RM50 untuk setiap penerima," katanya.

Menurutnya peruntukan itu tidak mampu menyelesaikan masalah kewangan dihadapi keluarga miskin dan memiliki anak yang ramai bersekolah namun sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka. 

“Program ini merupakan program tahunan dan kami harap pada tahun-tahun depan lebih ramai lagi Perda dapat bantu (khususnya) murid sekolah, fokus kita (PERDA) di Pulau Pinang memang untuk bantu golongan memerlukan iaitu B40 dan golongan lain termasuk peniaga dan usahawan, hari ini kami fokus kepada bantuan sekolah,“ katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan