LUNDU, 8 Feb (Bernama) -- Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) merupakan platform kepada masyarakat terutamanya golongan rentan untuk mendapatkan bantuan dan sokongan tanpa sebarang stigma.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata melalui PSSS, masyarakat boleh meluahkan masalah dan isu dihadapi mereka kepada kaunselor profesional dan berdaftar.
“Dunia sekarang banyak cabaran, isu kesihatan mental bukan sahaja dialami orang dewasa tetapi turut melibatkan kanak-kanak dan remaja. Tekanan ini mungkin disebabkan masalah keluarga, pembelajaran atau persekitaran.
“Kadang-kadang bila kita stres, kita tidak tahu di mana untuk mengadu, oleh itu inisiatif PSSS ini antara langkah untuk memastikan komuniti kita mempunyai tempat mendapatkan bantuan,” katanya semasa berucap di program jelajah kasih PSSS dan sumbangan Kembali ke Sekolah 2025 di sini hari ini.
PSSS merupakan program anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang menawarkan perkhidmatan psikososial holistik kepada masyarakat seperti sesi bimbingan dan kaunseling berbentuk kelegaan segera kepada kumpulan sasar.
Pengoperasian PSSS buat masa ini, dilaksanakan secara bergerak dan tetap di premis.
Sementara itu, Nancy berkata peranan dan sokongan YKN untuk membantu kerajaan melalui inisiatif seperti PSSS memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
“Sokongan daripada syarikat korporat dan organisasi lain boleh menyokong usaha YKN dalam memperkukuhkan perkhidmatan sokongan sosial ini. Sebagai penghargaan kepada penyumbang, YKN menyediakan resit pengecualian cukai bagi setiap sumbangan diterima.
“Ini adalah peluang baik untuk pihak korporat untuk memainkan peranan bersama-sama dalam membina kesejahteraan komuniti,” katanya.
-- BERNAMA