KOTA BHARU, 8 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 325 liter petrol dipercayai cuba diseludup melalui pengkalan haram Kampung Simpangan dekat Tumpat malam tadi.
Pengarah KPDN negeri Azman Ismail berkata Ops Bersepadu sekitar 11.30 malam yang disertai Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor itu turut menyita dua buah kenderaan jenis Proton Iswara dan Proton Wira dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 10,000.
Beliau berkata terdahulu pasukan operasi mengesan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum membuat serbuan di pengkalan haram berkenaan.
"Siasatan lanjut menemui beberapa tong yang disimpan di dalam dua buah kenderaan terbabit yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA