MELAKA, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta kepada 5,812 penerima bantuan melibatkan aspek kebajikan, pembangunan ekonomi dan pendidikan masyarakat Tionghua di Melaka pada tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata selain itu setiap tahun, sumbangan khas berjumlah RM200,000 disalurkan menerusi Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka kepada 1,000 penerima yang layak bagi meringankan beban masyarakat berkenaan untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
"Populasi masyarakat Tionghua di Melaka hanya 203,400 orang, iaitu sekitar 19.42 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri bertuah ini, namun sumbangan komuniti ini dalam pembangunan negeri amat besar nilainya.
"Justeru, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana komuniti, bahkan kita sentiasa mendengar denyut nadi seluruh lapisan rakyat termasuk masyarakat Tionghua di Melaka untuk diberi perhatian dan bantuan sewajarnya," katanya kepada pemberita di Malim Jaya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka 2025 yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran majlis berkenaan Datuk Ngwe Hee Sem.
Ab Rauf berkata kesemua peruntukan itu disalurkan selaras hasrat utama kerajaan negeri yang sentiasa mendahulukan keperluan rakyat sehingga akar umbi tanpa mengira latar belakang bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dan sejahtera.
Beliau berkata selain peruntukan itu, setiap tahun juga kerajaan negeri komited melaksanakan sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka kerana ia merupakan antara perayaan utama bagi seluruh masyarakat Tionghua yang diraikan secara bersama.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya bersyukur kerana mempunyai negara aman dan kedudukan politik yang stabil sehingga mampu berkongsi satu aspirasi di bawah payung kekeluargaan Malaysia MADANI selari dengan semangat perpaduan yang menjadi teras negara," katanya.
Sementara itu, Ngwe berkata lebih 15,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan majlis rumah terbuka berkenaan pada kali ini.
Beliau berkata kehadiran pengunjung itu jelas membuktikan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Melaka dan negara ini masih utuh sekali gus dapat hidup dalam situasi aman dan harmoni.
"Selain hadir untuk memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, masyarakat berbilang kaum juga dapat mengeratkan silaturahim antara mereka dan kita dapat lihat perpaduan antara semua kaum di negeri ini semakin erat di bawah kepimpinan Ketua Menteri Melaka sekali gus menunjukkan sokongan rakyat kepada kerajaan negeri," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun hadapan, sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka bakal dianjurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dan penganjuran secara bergilir mengikut DUN bertujuan memberi peluang kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menganjurkannya.
-- BERNAMA