Oleh Erma Idayu Mohd Yusof
KEPALA BATAS, 9 Feb (Bernama) -- Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) menjadi pusat pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan dan menggunakan sistem Integral Quality Monitor (IQM), sebuah teknologi canggih dalam rawatan radioterapi untuk pesakit kanser.
Pakar Perunding Otorinolaringologi dan Brakiterapi Surgikal PPUSMB Prof Madya Dr. Muhamad Yusri Musa berkata melalui sistem ini, rawatan radioterapi di PPUSMB kini menggunakan teknologi terkini yang bertujuan meningkatkan jaminan kualiti dalam rawatan terapi radiasi.
Menurut Dr. Muhamad Yusri, IQM merupakan satu sistem yang lebih maju dan memastikan keselamatan rawatan radioterapi berada pada tahap tertinggi. Sistem ini juga memastikan ketepatan rawatan radioterapi ke atas sel-sel kanser secara lebih tepat sambil melindungi tisu sihat daripada kesan radiasi.
"Dengan penggunaan IQM, kita kini dapat melakukan pemeriksaan secara real-time. Semasa pesakit menjalani rawatan radioterapi, IQM akan memantau ketepatan dos radiasi yang diberikan, memastikan pancaran radiasi tepat mengenai sel-sel kanser sahaja," jelasnya.
Beliau berkata dengan sistem IQM, radiasi hanya akan tertumpu kepada sel kanser, sekali gus mengurangkan kesan sampingan pada pesakit kerana tisu yang sihat tidak akan terdedah kepada radiasi.
Dr. Muhamad Yusri berkata sistem IQM telah dipasang pada mesin radioterapi di PPUSMB sejak Disember lalu, dan setakat ini, lima pesakit telah menerima rawatan menggunakan teknologi tersebut. Pihak PPUSMB menjangkakan lebih ramai pesakit akan mendapat manfaat daripada sistem ini pada masa depan.
"Sistem ini memantau pancaran radiasi secara serta-merta menggunakan pengesan yang direka khas, yang memungkinkan pemeriksaan keselamatan dijalankan dengan lebih efisien semasa rawatan," katanya.
IQM, menurutnya, merupakan game-changer dalam rawatan kanser kerana ia memantau ketepatan dos radiasi secara masa nyata, mengurangkan risiko, serta memastikan setiap rawatan disampaikan seperti yang dirancang oleh pakar onkologi radiasi dan pegawai fizik perubatan.
Dr. Muhamad Yusri memberikan contoh mudah, "Sistem IQM ini seperti seorang penembak tepat (sniper) yang hanya menyasarkan sel-sel kanser sebagai sasaran. Dengan cara ini, sel-sel sihat tidak akan terkena radiasi yang boleh mendatangkan kesan sampingan seperti kerosakan pada mata yang berpotensi menyebabkan kebutaan."
Beliau berharap sistem IQM dapat membantu PPUSMB untuk meningkatkan kapasiti rawatannya, sejajar dengan visi pusat itu untuk menjadi pusat rujukan kanser utama di wilayah utara, serta satu daripada hab pendidikan dan latihan utama dalam bidang onkologi.
Sementara itu, Ketua Fizik Perubatan PPUSMB, Nursyatina Abdul Raof, yang mengetuai projek naik taraf sistem radioterapi, berkata sistem IQM juga membolehkan pemeriksaan keselamatan dilakukan secara automatik, berbanding kaedah manual yang biasa dilakukan oleh ahli fizik perubatan.
"Ini membolehkan ahli fizik perubatan memberi lebih tumpuan kepada pelan rawatan pesakit, sekali gus mempercepatkan proses rawatan.
“Sistem ini juga akan membolehkan PPUSMB memperkukuh bidang fizik perubatan dan penyelidikan onkologi sinaran dengan menyelidik kaedah yang lebih baik untuk mengoptimumkan keselamatan dalam penyampaian rawatan radioterapi," katanya.
-- BERNAMA