AM

MAIM AGIH ZAKAT FITRAH, FIDYAH KEPADA 8,781 KETUA ISI RUMAH FAKIR, MISKIN

09/02/2025 02:29 PM

MELAKA, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah mengagihkan sumbangan zakat fitrah dan fidyah kepada 8,781 ketua isi rumah asnaf fakir dan miskin, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.52 juta pada tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata sumbangan disalurkan secara berperingkat ini bertujuan meringankan beban penerima, terutama dalam membuat persediaan untuk Ramadan, khususnya membeli barangan makanan.

Beliau berkata pada tahun ini, sebanyak 131 ketua isi rumah golongan asnaf fakir, melibatkan 279 isi rumah, menerima sumbangan berkenaan. Sementara itu, bagi golongan asnaf miskin, ia melibatkan 8,650 ketua isi rumah dengan jumlah 15,755 isi rumah.

"Menerusi sumbangan zakat fitrah dan fidyah pada tahun ini, setiap ketua isi rumah asnaf fakir akan menerima RM400, manakala bagi isi rumah fakir akan menerima tambahan RM100 setiap seorang.

"Bagi golongan asnaf miskin, setiap ketua isi rumah akan menerima sebanyak RM250 sementara isi rumah miskin akan menerima tambahan RM100 setiap seorang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengangihan Bantuan Persediaan Ramadan (Zakat Fitrah) dan Pengagihan Wang Fidyah kepada Asnaf Fakir dan Miskin MAIM 2025M/1446H yang turut dihadiri Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad.

Rahmad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata bagi sumbangan fidyah pula, setiap fakir dan miskin menerima RM150 dan mereka diingatkan membelanjakan wang berkenaan untuk membeli barangan keperluan berupa makanan sahaja.

Dalam pada itu, beliau berkata daripada keseluruhan sumbangan yang diagihkan itu, sebanyak 366 ketua isi rumah asnaf fakir dan miskin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek menerima sumbangan zakat fitrah dan fidyah berkenaan membabitkan peruntukan berjumlah RM222,400.

Sementara itu, beliau berkata MAIM menyasarkan kutipan zakat di negeri itu meningkat kepada RM150 juta pada tahun ini berbanding RM141 juta pada tahun lepas.

Katanya sasaran berkenaan dianggarkan berdasarkan peningkatan kutipan zakat pada tahun lepas yang meningkat sebanyak RM6 juta berbanding sasaran awal iaitu RM134 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan