AM

MALAYSIA, TURKIYE BERTUKAR 11 MOU LIPUTI TENAGA, PERTAHANAN, PERDAGANGAN DAN MEDIA

11/02/2025 03:13 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye telah bertukar 11 Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor, bersempena lawatan rasmi Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia dari 10 hingga 11 Feb.

Pertukaran kesemua dokumen itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Erdogan, meliputi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kolaborasi media.

Antara perjanjian penting yang dimeterai ialah MoU kerjasama dalam peralihan tenaga di antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadilah Yusof dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye Alparslan Bayraktar.

Dalam bidang pengurusan bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertukar MoU dengan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD), selain kedua-dua negara turut memeterai perjanjian dalam latihan diplomatik.

Bagi memperkukuh kerjasama saintifik, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan Malaysia dan Institut Penyelidikan Kutub Turkiye di bawah Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknologi (TUBITAK) bertukar MoU dalam penyelidikan Antartika dan Artik.

Kerjasama dalam sektor pertahanan turut diperkukuh dengan dua perjanjian utama.

Pertamanya perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan penubuhan Jawatankuasa Bersama bagi Produk Pertahanan di antara Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye Prof Aluk Gorgun.

Keduanya, melibatkan sistem komunikasi strategik di antara Majlis Keselamatan Negara Malaysia dan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye.

Selain itu, pertukaran MoU di antara Selangor Aviation and Technology Innovation SB dengan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye dalam pembangunan bandar pintar, sistem trafik, dan keselamatan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam bidang perdagangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia bertukar MoU dengan Kementerian Perdagangan Turkiye yang memberikan tumpuan kepada perlindungan pengguna, pemantauan pasaran dan pemeriksaan.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri Malaysia bertukar perjanjian dengan Desan Shipyard dari Turkiye bagi perolehan kapal misi pelbagai guna untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam sektor media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertukar MoU dengan Radio and Relevision Supreme Council (RTUK) Turkiye bagi kerjasama dalam perkhidmatan media audiovisual.

Sementara itu, Bernama dan Anadolu Ajansi turut memeterai perjanjian mengenai kerjasama maklumat dan komunikasi bagi memperkukuh hubungan media kedua-dua negara.

Pertukaran MoU ini menekankan perkongsian yang semakin erat antara Malaysia dan Turkiye serta mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperdalam hubungan strategik, ekonomi dan budaya.

Pada tahun 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport utama, serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Turkiye mencatat RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) pada 2024, meningkat 18.7 peratus berbanding tahun 2023.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan