KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Sistem Pengesanan Murid Kementerian Pendidikan (SiPKPM) akan diperkukuhkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan strategi menangani keciciran murid.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sistem pengesanan yang diperkasakan itu akan dapat membantu pihak sekolah mengesan lebih awal murid berisiko cicir, murid cicir dan kanak-kanak yang berisiko untuk tidak mendapat akses pendidikan.
“Melalui pengesanan awal, KPM boleh melaksanakan intervensi secara berfokus dan bertindak di peringkat lebih awal.
“Kementerian tidak akan berkrompomi terhadap isu kehadiran, keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap murid tanpa mengira latar belakang malah ia terus menjadi fokus serta agenda utama KPM sepanjang masa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang ingin tahu langkah proaktif kementerian untuk mengatasi isu berkaitan kehadiran, keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap kanak-kanak warganegara Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Mengulas lanjut, Wong yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata KPM juga telah melaksanakan Program Ziarah Cakna bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan dan hala tuju pendidikan serta bimbingan kerjaya kepada murid yang berisiko selain penyediaan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah.
Menjawab soalan tambahan Azli mengenai isu kapasiti murid yang terlalu ramai dalam satu kelas, beliau berkata berdasarkan Garis Panduan dan Peraturan Bagi Perancangan Bangunan 2024 diterbitkan Kementerian Ekonomi, kapasiti murid bagi setiap kelas ialah 30 orang.
“Kita juga ambil kira ruang kerja, jarak kerusi dan meja dari tingkap, pergerakan murid dan guru selain faktor tertentu lain, jadi nilai kapasiti itu boleh dipertimbangkan hingga 35 orang.
“Bagi bina sekolah baharu dan bangunan tambahan, kita laksana analisis keperluan termasuk ambil kira kapasiti sekolah sedia ada, kepadatan penduduk serta lebihan baki tanah sekolah bagi tambahan bangunan,” katanya.
Wong berkata setakat ini RM100 juta telah diluluskan dalam Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia ke-12 bagi pembinaan bangunan tambahan di sekolah dengan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri.
-- BERNAMA