SHAH ALAM, 12 Feb (Bernama) -- Kerajaan menggalakkan lebih banyak gudang simpanan bertingkat dan berteknologi tinggi dibina bagi mengoptimumkan penggunaan tanah.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pembinaan gudang berkonsepkan 'smart logistics’ (penggunaan teknologi baharu untuk mengoptimumkan proses di gudang) itu juga mampu memperkasa sektor logistik negara selaras usaha menjadikan Malaysia sebagai hab logistik serantau.
“Ia memang satu trend sekarang (pembinaan gudang bertingkat) sebab mereka nak mengoptimumkan penggunaan tanah selain kos tanah semakin meningkat.
“Ia memang sesuatu yang baharu dan diharapkan pembangunannya turut melibatkan penggunaan inovasi, teknologi dan mesin supaya kecekapan gudang itu dapat dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Hab Logistik Exio di Elmina di sini hari ini.
Loke berkata modenisasi sektor itu amat penting dalam meningkatkan kecekapan operasi dengan memperluaskan penggunaan teknologi dan automasi.
Bagi memajukan sektor logistik, ekonomi dan perdagangan negara, kerajaan turut memperkasakan pelbagai bentuk infrastruktur termasuk pelabuhan, landasan kereta api serta jaringan jalan raya, katanya.
"Justeru, kita juga menggalakan pembangunan hab logistik di negeri-negeri lain dengan memaksimumkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan Lembah Klang dengan wilayah berkenaan apabila siap kelak," katanya.
Hab Logistik Exio dibangunkan dengan kerjasama antara IJM RE Sdn Bhd, anak syarikat dimiliki IJM Corporation Berhad (IJM) dan FMM Elmina Sdn Bhd merupakan sebuah pusat logistik canggih yang mampu menampung lebih 100,000 ruang palet dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 240 palet sejam.
Hab tersebut dilengkapi Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) serta Kenderaan Pandu Automatik (AGV) bagi meningkatkan kecekapan operasi logistik.
Sementara itu, IJM dan Storio Sdn Bhd (Storio) dalam satu kenyataan bersama berkata tanah pegangan bebas utama seluas 8.9 hektar (22 ekar) di Elmina East dipajak sepenuhnya kepada Storio sebagai pengendali dan penyewa utama.
Storio dimiliki pemegang saham FMM Elmina yang akan menguruskan kemudahan itu, terdiri daripada dua hab iaitu Storio Hub 1 dan 2 dengan jumlah ruang lantai 500,000 kaki persegi.
Pembinaan hab akan dimulakan serta-merta, penyerahan kepada Storio dijangka akan disempurnakan pada suku pertama 2027.
Seiring dengan kepakaran pembinaannya, IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corp dianugerahkan kontrak RM284 juta untuk membina Hab Logistik Exio, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penggiat utama dalam sektor hartanah perindustrian.
-- BERNAMA