KAJANG, 13 Feb (Bernama) -- Nama Hospital Kajang hari ini secara rasminya ditukar kepada Hospital Tengku Permaisuri Norashikin.
Perasmian nama baharu itu diadakan pada majlis yang disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini.
Turut berkenan berangkat ke majis itu Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Pada majlis itu turut menyaksikan perasmian pembukaan Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak (WCC) hospital berkenaan yang mula beroperasi pada 7 Okt tahun lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sembah ucapannya berkata Hospital Tengku Permaisuri Norashikin ialah hospital pakar yang mampu menerima lebih 28,000 pesakit setiap tahun.
Dzulkefly berkata hospital itu kini tampil sebagai satu daripada hospital pakar utama yang dilengkapi kemudahan moden dan menawarkan 17 perkhidmatan kepakaran.
“Hospital ini berada dalam Program Hospital Kluster Lembah Klang Keempat yang dipimpin oleh Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sebagai Lead Cluster Hospital. Ia memperoleh perkhidmatan pakar melalui lawatan pakar perubatan secara berkala dan perkongsian sumber sekali gus meningkatkan kualiti rawatan kepada pesakit,” katanya.
Mengulas mengenai WCC hospital itu, Dzulkefly berkata ia dibina sebagai sebahagian daripada usaha KKM untuk mengurangkan kesesakan, memperluas akses rawatan dan memastikan pesakit menerima perkhidmatan terbaik.
Beliau berkata fasiliti di bangunan sembilan tingkat itu dilengkapi 272 katil, 14 bilik bersalin, enam bilik bedah, satu mesin Imbasan Tomografi (CT) serta perkhidmatan pergigian dan audiologi pediatrik.
“Sebanyak 1,043 perjawatan baharu telah diluluskan untuk memastikan fasiliti ini dipacu petugas kesihatan yang pakar dan berkemahiran tinggi,” katanya.
Dzulkefly berkata pembinaan fasiliti yang dibina di tanah seluas 5.43 ekar itu membabitkan kos sebanyak RM287 juta.
-- BERNAMA