PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Pasukan Inspektorat Penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM) akan ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan di bazar Ramadan bagi memastikan tiada peniaga memindahkan lesen mereka kepada pihak lain khususnya kepada warga asing.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pasukan itu akan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh di bazar seluruh negara bagi mengekang aktiviti berkenaan.
“Memang kita akan lakukan pemeriksaan di semua bazar, termasuk tempat-tempat yang terdapat pekerja asing bagi memastikan tiada sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang.
“Saya akan tetapkan kepada pasukan ini untuk buat pemeriksaan ke segenap tempat. Jadi kita akan susun jadual pemeriksaan termasuk di pejabat JIM negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri peluncuran Inspektorat Penguatkuasaan di sini hari ini.
Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar membatalkan lesen bazar Ramadan yang dikeluarkan sekiranya mendapati ada peniaga memindahkan lesen mereka kepada pihak lain.
Anwar menegaskan, isu ‘memindahkan’ lesen itu antara aspek tadbir urus yang harus diberi penekanan dan memerlukan penguatkuasaan lebih baik.
Ditanya sama ada pasukan berkenaan akan dilengkapi dengan kamera badan ketika melakukan tugasan pemantauan, Zakaria berkata perkara itu merupakan perancangan masa depan pasukan itu.
“Buat masa ini, kita belum ada tetapi kita memang ke arah itu,” katanya.
Pada 2 Dis 2024, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pemakaian kamera badan pada anggota Jabatan Imigresen yang bertugas di pintu masuk utama negara akan dilaksanakan menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertujuan mengelak berlakunya penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Terdahulu dalam ucapan peluncuran, Zakaria berkata pasukan yang akan memulakan tugas secara rasmi hari ini itu dijangka mampu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap Jabatan Imigresen.
“Saya percaya dalam masa singkat, kita akan boleh ubah persepsi masyarakat yang lihat betapa serius kita menangani isu kebanjiran pekerja asing yang datang ke negara ini tanpa dokumen sah,” katanya.
Beliau berkata pasukan itu bukan sahaja ditugaskan bagi penguatkuasaan undang-undang tetapi menyampaikan maklumat serta panduan kepada majikan mengenai prosedur menggaji pekerja warga asing secara sah.
-- BERNAMA