AM

PINDAAN AKTA PERHIMPUNAN AMAN BUKTI KOMITMEN KERAJAAN PERJUANG HAK, KEBEBASAN BERHIMPUN

13/02/2025 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kesediaan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) untuk memudahkan dan membantu pelaksanaan perhimpunan aman di negara ini membuktikan komitmen kerajaan MADANI memperjuangkan hak dan kebebasan berhimpun. 

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perpaduan (Backbenchers) Khoo Poay Tiong berkata cadangan pindaan itu diyakini tidak akan memudaratkan keamanan dan ketenteraman awam.

“Penganjur masih perlu mengemukakan notis sebelum menganjurkan perhimpunan supaya pihak polis ada masa yang cukup untuk membuat persediaan kawalan keselamatan," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan kerajaan bersetuju meminda akta berkenaan yang dijadualkan pada sesi Parlimen akan datang.

Anwar berkata pindaan itu antara lain akan mengeluarkan Seksyen 11 Akta 736 melibatkan keperluan persetujuan pemunya atau pemilik lokasi perhimpunan yang menjadi pertikaian pada masa ini.

Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Perpaduan Syed Ibrahim Syed Noh menyambut baik langkah itu memandangkan hak berhimpun adalah antara perkara asas yang diperjuangkan pihaknya sebelum ini.

“Kita berharap hal ini akan membawa suasana yang lebih menyegarkan demokrasi … saya bersetuju pada masa sama kita tak mahu terdedah kepada ancaman keselamatan, tetapi kita kena seimbangkan antara ancaman dengan kebebasan," katanya.

Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat pula menyifatkan langkah itu sebagai usaha yang baik dalam memberikan keyakinan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia memberikan ruang kebebasan untuk orang berhimpun dan menyuarakan pandangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan