AM

PELARASAN HARGA LANTAI BELIAN PADI BERI MOTIVASI KEPADA PELADANG TINGKAT PRODUKTIVITI

13/02/2025 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pelarasan semula harga lantai belian padi diyakini akan memberikan motivasi kepada peladang untuk terus meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran padi, sekali gus mengukuhkan industri pertanian negara sebagai tulang belakang ekonomi negara.

Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut menyifatkan pelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan usaha gigih golongan itu dalam menjamin bekalan makanan negara.

“Penyelarasan ini bukan sahaja suatu berita gembira kepada pesawah di kawasan MADA, malah ia dapat membantu pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.

“Langkah ini juga membuktikan komitmen pihak kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemampanan sektor pertanian khususnya industri padi dan beras negara,” menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jawatankuasa itu turut berharap kerjasama erat antara kerajaan dan peladang akan terus diperkukuh demi memastikan kestabilan dan kemajuan sektor pertanian pada masa hadapan.

“Peladang-peladang di kawasan MADA komited dan beriltizam untuk terus mengambil tanggungjawab sepenuhnya sebagai pembekal makanan untuk rakyat Malaysia.

"Para peladang juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin tentang nasib peladang kesan daripada kenaikan kos harga pengeluaran padi, dengan mengambil langkah proaktif dalam memberikan sokongan yang lebih besar melalui subsidi, bantuan kewangan dan pemerkasaan teknologi pertanian," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan