MELAKA, 14 Feb (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan melebarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk wanita iaitu JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) ke Uzbekistan.
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata program TVET JELITA ke Uzbekistan itu adalah sebahagian daripada agenda dalam rangka kerjasama strategik antara UTeM dan universiti di negara berkenaan.
"Ini merupakan permintaan daripada pihak mereka yang juga berhasrat memperkasakan program berteraskan TVET untuk golongan wanita di negara itu.
"UTeM sedia berkongsi kepakaran dan pengalaman dimiliki berdasarkan reputasi kejayaan dalam program TVET JELITA di Malaysia bermula sejak 2023 lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Massila berkata UTeM terus proaktif dalam memastikan kejayaan program bertaraf nasional itu berjaya secara bersepadu seterusnya impak TVET JELITA dapat diperluaskan ke peringkat antarabangsa menerusi hubungan antara universiti peringkat global.
Terdahulu, Massila mewakili UTeM pada Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) antara universiti berkenaan dengan dua universiti dari Uzbekistan iaitu Tashkent University of Information Technologies (TUIT) dan Bukhara Engineering and Technological Institute (BETI) di Kampus Durian Tunggal baru-baru ini.
Beliau berkata melalui kerjasama itu, UTeM, TUIT dan BETI menumpukan pada beberapa agenda antaranya memperkasa agenda kolaborasi akademik, penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar selain bidang edupelancongan yang sekali gus merancakkan lagi pelancongan negeri ini.
“Di samping itu, beberapa produk inovasi yang berpotensi besar dari ketiga-tiga institusi pendidikan tinggi ini turut dilonjakkan proses pengkomersialannya menerusi cabang projek spin off secara bersama.
“Secara umumnya kerjasama strategik ini bukan dalam konteks dunia pendidikan tinggi semata-mata, malah turut mengukuhkan hubungan diplomasi antara dua negara di rantau Asia,” katanya.
-- BERNAMA