AM

MCMC, PDRM KENAL PASTI INDIVIDU TULAR BERITA PALSU MELIBATKAN MAJLIS RAJA-RAJA - FAHMI

14/02/2025 07:22 PM

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti individu terlibat yang menularkan berita palsu melibatkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 baru-baru ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan akan diambil terhadap individu terbabit termasuk mana-mana pihak yang turut menularkan atau menyebarkan berita palsu yang melibatkan institusi diraja berkenaan.

“Dalam hal ini, ia suatu mainan yang sejujurnya tidak ada sebarang undian dilakukan dalam Majlis Raja-Raja baru-baru ini,” katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata sekiranya ada sebarang pengundian pada mesyuarat berkenaan, ia memerlukan kehadiran semua raja pemerintah, namun Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 itu kerana menjalani rawatan di luar negara.

“Daripada gambar yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim mengenai Majlis Raja-Raja yang baru berlangsung, kita boleh lihat di situ bahawa Tuanku sendiri tidak hadir, bermaksud tidak ada sembilan undian.

“Tuanku gering, tidak hadir dan pada Jumaat minggu lepas telah berangkat untuk rawatan kesihatan di luar negara,” kata Menteri Komunikasi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan