EKONOMI

SARAWAK ENERGY TAULIAH SISTEM PENYIMPANAN TENAGA BATERI SKALA UTILITI PERTAMA MALAYSIA

14/02/2025 10:02 PM

KUCHING, 14 Feb (Bernama) -- Sarawak Energy Bhd (SEB) telah mentauliahkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Skala Utiliti Pertama Malaysia (BESS) di Loji Tenaga Sejingkat.  

Menurut SEB melalui satu kenyataan hari ini, BESS berkapasiti 60-megawatt (MW) itu, yang telah dijana pada Disember 2024, menyediakan perkhidmatan grid penting termasuk rizab berputar utama (rizab kecemasan), pengawalan dan kekerapan voltan serta pengurusan permintaan.puncak.  

Perkhidmatan ini menyokong pengoptimuman sistem penjanaan kuasa dan grid secara menyeluruh.

“Pelaburan ini juga membolehkan keupayaan BESS diuji bagi mengintegrasikan sumber tenaga boleh baharu seperti solar.

“Ini sejajar dengan hasrat Sarawak untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030, yang mengenal pasti tenaga boleh baharu sebagai pemboleh ubah utama kemajuan ekonomi negara,” katanya.  

 Loji Tenaga Sejingkat, stesen janakuasa arang batu pertama di Borneo dan kedua di Malaysia telah ditauliahkan pada 1998, penggunaannya sedang dihentikan secara berperingkat.

SEB berkata peralihan ini mencerminkan komitmennya terhadap tanggungjawab alam sekitar termasuk mengurangkan pelepasan karbon. 

Sementara itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri merancang untuk memperluaskan inisiatif BESS di seluruh Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar.   

“Disebabkan ia bersifat mudah alih, ia boleh dicaj dan dipindahkan. SEB kini menyimpan bateri dalam 22 kontena, memudahkan ia untuk digunakan ke kawasan luar bandar bagi meningkatkan bekalan tenaga di mana diperlukan.  

"Jika ini terbukti berjaya, kami dapat mengembangkan inisiatif tersebut. BESS juga boleh digunakan di tapak empangan hidroelektrik selain berfungsi sebagai penyelesaian tenaga hibrid bagi loji tenaga kami,” katanya kepada pemberita selepas melawat fasilti Sejingkat hari ini. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan